Khamis, 7 Jun 2012

Apabila Allah SWT Istiharkan Muflis


Muflis, bankrap, rugi dan segala perkataan yang membawa maksud ke arah itu menjadi ketakutan sesiapa sahaja. Mereka mula terbayangkan hidup tanpa harta, hilang keseronokan, tidak mampu bermewah-mewahan, hilang kawan dan segala-gala keseronokan di dunia. Itu yang menjadi ketakutan mereka.

Beberapa kerat sahaja yang terfikirkan mengenai kebankrapan yang boleh terjadi di alam akhirat. Ramai tidak menyedari bahawa itu lebih memeritkan.

Namun manusia, sentiasa alpa dan lupa bahwa adanya kehidupan selepas kematian. Inilah tempat yang kekal dan segala kebaikan dan kejahatan akan mendapat pembalasan di sini.

Pernahkah kita menguji minda dan diri untuk memikirkan sesuatu yang lebih jauh daripada pandangan mata kasar. Pernahkah bertanya siapakah di antara kita yang dikira mereka yang muflis.
Dan pernah pertanyaan begini ditanya pada zaman Rasululullah SAW. dan para sahabat menjawab, "Muflis dalam kalangan kami ialah orang yang tidak berduit dan tidak memiliki sebarang harta (aset)".
Jawapan tersebut adalah berdasarkan kefahaman umum masyarakat ketika itu dengan kalimah muflis. Begitu jugalah pada zaman kini. Apabila disebut perkataan muflis maka terlintas di fikiran mengenai seseorang yang tidak berduit dan harta dan memiliki hutang yang tidak mampu dibayar.

Namun begitu, Rasulullah SAW. pernah bersabda dan menerangkan mengenai maksud dan pengertian muflis itu yang sebenarnya. Sabdanya bermaksud, " Orang yang muflis dalam kalangan umat ku ialah seseorang yang dibangkitkan di akhirat kelak bersama-sama dengan pahala solat, zikit, puasa dan zakat yang pernah dilakukan semasa di dunia.

Namun pada masa yang sama juga dia membawa dosa memaki hamun, memfitnah, memakan harta orang, menumpahkan darah dan memukul orang. Waktu perbicaraan di ambil pahalanya (si muflis) dan dibayar kepada mangsa-mangsa tersebut. Sekiranya telah habis pahalanya diambil pula dosa-dosa mangsanya, lalu dibebankan kepada si muflis. Lalu dihumbankan ke dalam neraka." –Riwayat Abu Hurairah-

Pastikan Modal Cukup Untuk ke Akhirat

Alam dunia dan alam akhirat pasti akan berbeza. Jika di dunia mata wang Ringgit Malaysia, dolar, riyal, dinar dan sebagainya menjadi kegilaan. Tetapi di akhirat mata wang itu semua tidak akan dipedulikan lagi. Malahan ia tidak membawa apa-apa nilai sekalipun.

Dan pastinya mata wang itu tidak akan 'laku' untuk diperdagangkan dan dipersembahkan untuk dijadikan modal menebus setiap perkara yang telah dilakukan. Di alam akhirat mata wang yang akan dikira ialah dosa dan pahala. Kedua-dua mata wang ini akan menjadi bukti apa yang telah dilakukan ketika di dunia oleh pelakunya.

Di akhirat kelak, bukan sahaja mereka yang tidak mencukupi modal akan dikira muflis tetapi juga manusia yang pernah melakukan dosa ke atas manusia lain tanpa dia sedari ataupun dengan sengaja dilakukan.

Misalnya, mereka yang secara terangan mencuri harta majikan dan begitu juga dengan majikan yang membayar gaji pekerja tanpa belas ihsan, mencuri harta orang lain, memaki hamun, mengumpat, memukul orang lain dan pelbagai lagi.

Mereka ini tergolong dalam golongan orang yang muflis walaupun telah membawa modal dikira mencukupi. Apatah lagi jika modal tidak seberapa, tetapi perlu pula membayar kepada orang lain. Inilah yang dinamakan muflis akhirat.

Jika muflis di dunia pasti ada juga rakan-rakan yang berhati mulia dan sanak saudara yang melihat kesengsaraan kita akan menolong. Diberikan modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Tetapi bagaimana seandainya sekujur mayat itu telah diistiharkan muflis di akhirat? Siapakah yang akan membantu?

Saat ini doa anak-anak yang soleh dan solehah diharapkan. Namun apakah sampai doa yang dinantikan itu. Disebabkan itulah modal daripada diri sendiri perlu berada pada tahap yang selesa.
Dan ketika berada di dunia perlu bijak menyeimbangkan keperluan dunia dan akhirat untuk mengelakkan diri terjerat dalam perangkap muflis dunia bankrap akhirat.

Jelas di sini maksud hadis Rasululullah SAW. yang berbunyi 'bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup 1000 tahun lagi dan beribadatlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari'. Seandainya ramai yang mengguna pakaikan maksud hadis ini ke dalam kehidupan seharian maka dia akan terlepas daripada bebanan dunia dan mendapat kesenangan, kemewahan serta kekayaan di akhirat kelak.

Oleh itu, jika kita sebagai hamba-Nya bijak menyusun atur kehidupan, pasti istilah muflis dunia dan bankrap akhirat dapat dielakkan.
Dan jika diberi pilihan, biarkan muflis dunia kerana masih ada ruang dan peluang untuk berubah daripada mendapat kesengsaraan dan 'malu besar' apabila diistiharkan bankrap dan muflis oleh Allah SWT di akhirat kelak. Ini kerana sudah tiada ruang untuk berubah dan pastinya neraka tempat untuk membayar segala hutang kebankrapan itu.

Renunglah maksud ayat daripada surah al-Kahfi ini, "Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia) kehidupan dunia sebagai air hujan yang Kami turunkan dari langit, maka menjadi subur tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering dan diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan." (al-Kahfi 45-46)

Credit To Pemilik Asalnya : Click Sini

Reactions:

0 comments:

Catat Ulasan